Saya Sebatang Pen
Saya sebatang pen hitam, buatan gombak. Selepas siap melalui proses pembuatan, saya dimasukkan ke dalam sebuah kotak bersama 99 batang pen yang lain. Selepas itu, saya tidak tahu apa yang terjadi kerana persekitaran menjadi gelap.Selepas beberapa minggu di dalam kegelapan, saya ternampak secebis cahaya di hujung kotak. Kononnya seperti ada orang hendak membuka kotak tersebut. Saya gembira! Saya sabar menanti. Tetapi cahaya itu hanya secebis itu sahaja sehingga beberapa minggu lagi. Saya hampa. Sehinggalah pada suatu hari yang muram, kotak itu dibuka, dan saya bersama rakan-rakan pen yang lain disusun di rak jualan pen. Sungguh bergaya. Kami mula berkawan dengan pen-pen jenis lain, dan membuat andaian siapa yang akan pergi dahulu.Selepas dua hari berpesta di rak jualan pen, ada seorang budak lelaki datang pada suatu lewat pagi, berdiri di hadapan rak jualan pen. Matanya bersinar melihat semua pen yang ada, dan entah mengapa hati saya pula yang berdebar-debar. Selepas dua saat, tangannya mencapai ke arah saya dan membawa saya ke arah sekeping kertas yang diletakkan di rak untuk cuba-guna. Kerana saya suka akan budak ini, saya dengan rela hati mengeluarkan dakwat yang paling cantik, sekaligus mencantikkan tulisannya yang agak buruk, untuk menarik perhatiannya. Berjaya! Saya dibawa ke kaunter bayaran dan kemudian dia membawa saya pulang.Namanya John. Dia sering menggunakan saya untuk menulis namanya di atas kertas peperiksaan. Dia seorang budak sekolah darjah lima, yang menurut perhatian saya tidak mempunyai kawan. Tapi dia sering menulis namanya. John. John. John. Saya tidak pernah bosan.John mempunyai seekor kucing hitam yang sakit. Saya pernah melihat kucing-kucing lain semasa di kilang dan kedai, tetapi kucing ini sedikit berlainan. Dia tidak boleh melihat. Dia mengharapkan John untuk segalanya. John sangat setia, sering memandikan kucing itu, membawanya ke tempat makan dan mengorek tanah untuk kucing itu apabila kucing itu perlu buang air. Kucing itu bernama Shall.Walaupun sakit, Shall suka bermain. Saya cuba untuk bermain dengan Shall, tetapi dia terkena mata pena saya dan kakinya berdarah. John sungguh marah dan baling saya ke dinding. Dia membawa Shall ke klinik haiwan. John juga separa buta. Saya sebenarnya tidak dibaling ke dinding. Itu hanya anggapannya. Saya termasuk ke dalam bilik adik John yang berumur sembilan tahun. Dia mengutip saya dan memakaikan saya riben ungu. Saya suka. Adik John bernama Nancy. Dia sangat cantik, tetapi sedikit gila. Dia menggunakan saya untuk menconteng dinding biliknya dengan kata-kata indah. Saya sangat suka.Apabila dakwat saya habis, Nancy menyimpan saya di dalam sebuah laci, bersama 99 batang pen yang lain. Semuanya diikat dengan riben ungu.Syurga. Saya sayang Nancy.